Pendidkan Seks di Malaysia !!

oleh Harlina Halizah Siraj on Thursday, June 16, 2011 at 8:30am
 ( Artikel ini diterbitkan sebagai buahtangan sulong Dr.Har dalam  ruangan Fitrah: Menyantuni Naluri Insan dalam majalah Solusi Isu ke23, 2010 terbitan Telaga Biru. Mohon dimanfaatkan sebaiknya jika ada kebaikan yang boleh sama-sama dikongsi. Semoga ia menjadi amal soleh yang dinilai oleh Rabbul Jalil.)

Apabila disebutkan pendidikan seks, apakah yang tergambar di dalam benak pemikiran kita? Ramai  di antara kita yang akan membayangkan satu bentuk matapelajaran yang diajar di sekolah-sekolah di Barat khususnya, yang menghuraikan aspek biologi manusia menjurus kepada perlakuan seksual dan hubungan kelamin. Kita juga menggambarkan betapa liberal sikap guru yang mengajarkan subjek tersebut, di samping latarbelakang masyarakat sekitar yang menganggap seks sebagai satu keseronokan tanpa ikatan dan tanggungjawab.


Implikasinya, amat mudah kita menolak bulat-bulat saranan dan cadangan yang diajukan agar pendidikan seksualiti diketengahkan sebagai salah satu kaedah penyelesaian kepada kemelut gejala sosial dan seksual yang sedang meruncing dalam masyarakat kita hari ini. Sebelum kita mengambil sebarang tindakan selanjutnya, elok kita perhalusi terlebih dahulu perspektif yang merangkumi pendidikan seksualiti ini.

Pendidikan seksualiti dalam ertikata sebenarnya adalah satu bidang pendidikan yang menggabungkan sekurang-kurangnya lima dimensi – biologikal, intelektual, emosional, sosial dan spiritual. Pendidikan ini bertujuan membentuk manusia yang terhormat dan mulia, dengan perubahan khusus tingkahlaku seksual yang selamat – yang tidak akan merosakkan diri sendiri, orang lain dan masyarakat. Melalui ilmu mengenai aspek seksualiti yang holistik, kemahiran manusia untuk membuat keputusan (decision-making skills) yang berkaitan dengan aspek seksualiti dilatih menjadi lebih mantap. Akhirnya manusia memilih tindak tanduk serta tingkahlaku seksual yang selaras dengan peraturan fitrah yang sejahtera. Begitulah matlamat utama pendidikan seksualiti yang diharap dan diidam-idamkan.

Mary Buxton, seorang perunding terapi seksual memberi huraian mengenai ciri-ciri remaja belia yang sihat dari sudut seksualnya seperti berikut :
  • Menghargai tubuh badannya
  • Bertanggungjawab terhadap setiap tingkahlaku
  • Berkomunikasi dengan berkesan dan terhormat
  • Meluahkan rasa cinta dan keintiman melalui cara yang bersesuaian dengan usianya
Penulis yakin, ramai antara kita yang tiada masalah untuk bersetuju dengan ciri-ciri remaja belia yang sihat aspek seksualnya sebagaimana yang dihuraikan oleh Mary Buxton. Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menanamkan ciri-ciri tersebut agar sebati dengan kehidupan remaja belia hari ini? Apakah cara paling berkesan untuk mendidik mereka agar berupaya memilih jalan yang benar, sejahtera dan selamat apabila berhadapan dengan persoalan-persoalan berkaitan seksualiti?
  • Banyak kajian dijalankan di Eropah dan AS mengenai keberkesanan pendidikan seks yang telah sekian lama diajarkan kepada anak remaja di sekolah-sekolah di sana. Keberkesanan diukur dengan kadar kehamilan remaja di bawah umur, usia ketika hubungan seks yang pertama dan kadar penggunaan kaedah pencegahan kehamilan (kontrasepsi). Kadar kehamilan remaja di negera Belanda (Netherlands) didapati yang terendah dicatatkan di kalangan negara-negara Eropah (lihat Jadual (1).


Jadual (1) : Kadar kehamilan remaja dan kelahiran di kalangan remaja

Negara
Kadar kehamilan remaja
( setiap 1,000 wanita  usia 15-19 tahun)
USA
72.2 (2004)
Perancis
25.7 (2002)
Jerman
18.8(2003)
Belanda
11.8 (2005)

Kadar kelahiran remaja
( setiap 1,000 wanita usia 15-19 tahun) (2007)
USA
42.5
Perancis
7.1
Jerman
9.6
Belanda
4.8

Antara beberapa sebab yang dikatakan membolehkan Belanda mencatatkan kadar kehamilan remaja yang rendah : 
  • Pendidikan seksualiti dimulakan awal di rumah menurut peringkat usia dan kematangan anak.
  • Keterbukaan sikap terhadap aspek seksualiti di kalangan ibu bapa Belanda.
  • Nilai kekeluargaan yang masih diutamakan dan keutuhan rumahtangga di kalangan penduduk Belanda ( kadar penceraian di Netherlands adalah antara yang terendah di Eropah)
  • Pendidikan seksualiti yang diajarkan secara formal di Belanda dilengkapkan dengan nilai moral, etika dan agama yang dipegang oleh keluarga pelajar ( Kurikulum ini dinamakan Sexuality Education Plus)
Banyak kajian juga mengakui peranan moral dan agama dalam membantu remaja belia membuat keputusan yang lebih selamat apabila berhadapan dengan persoalan berkaitan aspek seksualiti. Satu laporan yang dikeluarkan oleh Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) USA pada April 2003 menyimpulkan bahawa pegangan agama mengurangkan kemungkinan remaja terbabit dalam aktiviti seks yang awal melalui pembentukan sikap dan tanggapan mereka terhadap aktiviti seksual.

Kaedah penyampaian pendidikan seksualiti tidak boleh disamakan dengan cara subjek matematik, biologi, fizik, geografi dan sejarah diajarkan di sekolah. Seorang pelajar masih boleh diajar menjadi cemerlang dalam bidang matematik tambahan, fizik dan kimia oleh guru di sekolah, sekalipun kedua ibu bapanya buta huruf dan tidak langsung mempunyai keupayaan menguasai subjek tersebut. Namun, pendidikan seksualiti yang harus mampu membentuk insan yang kamil dan sejahtera, perlu bermula dari sikap dan tanggapan yang betul di dalam rumah dan dijelmakan melalui interaksi sihat penuh hormat antara ahli keluarga. Sementara di sekolah, anak-anak akan dididik dan dilatih berinteraksi dengan komuniti sekitaran yang terdiri dari kelompok yang sama atau berlainan gender. Kemahiran bersosialisasi di sekolah menjadi tumpuan dan fokus yang perlu diutamakan bagi mengembangkan dimensi sosial dalam aspek pendidikan seksualiti. Pendekata, saranan yang menganggap gejala sosial akan mampu diselesaikan sekiranya pendidikan seksualiti diajarkan secara formal di institusi pendidikan semata-mata, tidak akan mencapai objektif yang dicita-citakan tanpa usaha serentak yang serius dalam meningkatkan keberkesanan peranan ibu bapa dan keluarga dalam menanamkan nilai agama, moral dan kemanusiaan yang mantap.

Masih ramai yang ragu-ragu sama ada pendidikan seksualiti mempunyai tempat dalam aspek pendidikan anak-anak atau tarbiatul aulad. Sekiranya dirujuk buku Tarbiatul Aulad fil Islam ( Pedoman Pendidikan Anak-anak dalam Islam) karangan As-Syaikh Al Ustaz Dr Abdullah Nasih ’Ulwan, terdapat satu bab khusus `Tanggungjawab Pendidikan Seksual’ yang merangkumi adab meminta izin, adab memandang muhrim dan bukan muhrim serta panduan menghindarkan anak-anak dari rangsangan seksual. Di dalam pendidikan Islam, anak-anak perlu tegas diajarkan mengenai solat seawal mungkin hingga menjelang usia tujuh tahun. Serentak dengan itu, mereka perlu diajarkan berwuduk dan mengetahui apa yang membatalkan wuduk dan solatnya. Ketika itu, mereka akan diperkenalkan dengan perkataan baru ` haid’, `nifas’ dan `air mani’, yang perlu penjelasan lanjut dari ibu bapa dan guru. Di dalam Al-Quranul Karim, jelas diajarkan keperluan mendidik anak-anak untuk menghormati waktu-waktu tertentu dengan meminta izin sebelum memasuki bilik ibu bapa pada tiga waktu iaitu sebelum solat Subuh, waktu Zuhur dan selepas solat Isya’ sebagaimana yang dihuraikan dalam Surah An-Nuur, ayat ke-58. Berulangkali juga peringatan Al-Quran mengenai keutamaan dan keperluan bagi orang-orang beriman memelihara kemaluan mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam ciri-ciri kejayaan orang beriman dalam Surah Al-Mukminun, ayat 5, 6 dan 7. Bagaimana mungkin seseorang itu memelihara, menjaga dan mengawasi kemaluannya sekiranya dia tidak mempunyai ilmu dan maklumat yang tepat mengenai alat kelamin serta fungsi reproduktifnya sendiri?

Penulis berpandangan, sebenarnya pendidikan seksualiti adalah sebahagian dari aspek pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning). Tidak dapat dinafikan, keperluan seksualiti manusia berubah mengikut usia, tahap kematangan dan kehidupan serta status kesihatan seseorang. Dengan itu, manusia harus sentiasa belajar menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Di waktu usia kanak-kanak dan remaja, perubahan yang berlaku menjelang baligh menandakan tahap kematangan organ pembiakan dan fungsi reproduktifnya, yang perlu diseimbangkan dengan kematangan kognitif atau akal dalam membuat keputusan dan pilihan. Ibu bapa yang perlu memberikan didikan ini harus berkemahiran memberikan jawapan yang tepat kepada setiap persoalan mengenai seksualiti yang ditimbulkan oleh anak-anak yang berada dalam peringkat ingin tahu. Kegagalan memberikan jawapan yang tepat akan menyebabkan anak-anak beroleh maklumat yang salah, hingga mengikis keyakinan anak-anak yang semakin terdedah dengan sumber maklumat luar yang lebih dirasakan tepat. Ibu bapa harus mampu membina wibawa dan kredibiliti, sehingga anak-anak menjadikan mereka rujukan pilihan utama setiap kali timbul persoalan berkaitan seksualiti. Selain itu, ibu bapa mesti berupaya memberikan maklumat berhubung aspek seksualiti sesuai dengan peringkat usia dan kematangan anak-anak – yang lazimnya dibahagikan kepada empat peringkat : prabaligh (sekitar 5 -9 tahun), baligh (10 – 12 tahun), remaja (13 – 17 tahun) dan dewasa muda ( 18 tahun ke atas).

Pendidikan seksualiti mestilah juga mencakupi dimensi sosial dan spiritual, di mana nilai moral, agama dan kemanusiaan mestilah ditekankan. Anak-anak mesti diperingatkan mengenai tanggungjawab menjaga alat kelamin sebagai amanah dari Allah SWT. Sebagaimana juga anggota badan yang lain seperti mata, telinga, kaki dan tangan, alat kelamin perlu dijaga sebaik mungkin untuk peranan utamanya menyambung zuriat dan nasab keturunan manusia. Pada hari pembalasan kelak, bila mana mulut terkunci dan anggota lain boleh berkata-kata untuk menyampaikan aduan kepada Allah SWT, alat kelamin yang digunakan di luar batas yang dibenarkan, akan pasti menuntut keadilan. Perzinaan akan menghancurkan kesucian hubungan manusia dan membawa kepada banyak lagi kerosakan. Cabaran utama ibu bapa Muslim hari ini adalah untuk membentuk anak-anak yang mempunyai daya tahan dan kekalisan yang tinggi dari pengaruh aliran liberal yang menyanjung gaya hidup hedonisme yang sarat dengan kecelaruan nilai dan identiti diri. Bekalkan mereka dengan aqidah yang sahih, akhlaq yang terpuji, ilmu pengetahuan yang menajamkan minda, sikap yang sejahtera dan tingkahlaku psikomotor yang sejajar dengan fungsi sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Ayuh, mulakan usaha bersama, sekarang juga untuk pertingkatkan kemahiran kita sebagai pembimbing kepada satu generasi baru yang mampu mendahului zaman, gagah mencipta kegemilangan – bukannya satu generasi muda yang lemah longlai, begitu mudah kecundang dan tersungkur menyembah nafsu syahwat yang serakah.   

Tamat.



Ulasan